Wednesday

E-Puisi Tradisional : Pantun Budi (Nurul Fitri)

Assalamualaikum..



Tegak rumah kerana sendi,
Runtuh sendi rumah binasa;
Sendi bangsa ialah budi,
Runtuh budi runtuhlah bangsa.

Sarat perahu muat pisang,
Singgah berlabuh di Kuala Daik;
Budi jahat lagi dikenang,
Inikan pula budi yang baik.


Bunga melati bunga di darat,
Bunga seroja di tepi kali;
Hina besi kerana karat,
Hina manusia tidak berbudi.


Kalau berladang menanam keladi,
Keladi dibawa ke tanah seberang;
Kalau dagang pandai berbudi,
Sampai mati dikenang orang.


Pisang emas dibawa belayar,

Masak sebiji di atas peti;
Hutang emas boleh dibayar,
Hutang budi dibawa mati.


Disana padi disini padi,
Itulah nama sawah dan bendang;
Disana budi disini budi,
Barulah sempurna bernama orang.


 _______________________________________________________________________
Ulasan: 

      Pantun budi berkait rapat dengan amalan kehidupan masyarakat Melayu. Pantun adalah bait bahasa yang unik kerana bahasanya yang tepat dan mengandungi mesej untuk mendidi masyarakat. Keistimewan bahasa dalam pantun mencerminkan kebijaksanaan orang Melayu dalam mendidik masyarakat supaya beradat dan beradap sepertimana dalam pantun budi. Terdapat banyak pantun budi yang telah dihasilkan oleh masyarakat melayu bagi menyampaikan pesan.

        Antara pantun budi yang dihasilkan adalah seperti diatas, ia mempunyai kepentingan kepada masyarakat melayu iaitu sebagai medium untuk berkomunikasi bagi memberikan nasihat. Disebalik nasihat itu, masyarakat boleh menjadikan pantun tersebut sebagai pengajaran. Pantun budi ini mengajar manusia supaya mengamalkan perbuatan menolong orang lain atau dengan kata lain berbudi kepada rakan. Oleh itu, nasihat yang disampaikan itu dapat diterima oleh masyarakat hingga ke hari ini. 
      Setiap rangkap pantun mempunyai maksud yang berupa nasihat. Pantun rangkap pertama diatas membawa maksud tunggak kepada perpaduan bangsa adalah budi tetapi jika masyarakat tidak berbudi maka runtuhlah perpaduan masyarakat. Seterusnya, pantun rangkap kedua ini membawa maksud sedangkan perbuatan jahat diingati oleh orang lain apatah lagi budi yang baik sudah pasti sentiasa diingati. Pantun rangkap ketiga pula membawa maksud besi yang berkarat tidak dipandang orang manakala manusia yang tidak berbudi dipandang rendah oleh masyarakat. Pantun rangkap keempat membawa maksud jika peniada mempunyai sikap yang baik iaitu suka menolong atau pun mempunyai budi yang baik dengan orang lain maka perbuatannya itu akan sentiasa dikenang orang manakala pantun rangkap kelima membawa maksud sesuatu pertolongan itu sentiasa diingati oleh orang lain dan tidak dapat diganti dengan nilai wang. Pantun rangkap terakhir iaitu rangkap keenam membawa maksud kita hendaklah menabur budi iaitu berbuat baik serta beradab tidak kira dimana sahaja supaya dapat menjadi orang yang sempurna.
      Akhir sekali, pantun budi juga terdapat dalam bentuk lagu yang dinyakikan oleh penyanyi Malaysia iaitu SM Salim yang bertajuk 'Pantun Budi'. Lagu ini dihasilkan bagi memberikan nasihat dalam bentuk nyanyian bagi menghiburkan masyarakat.




2 comments:

Ruzaini JR. said...

Pantun2 atas ni memang bagus untuk kita bagi nasihat dekat orang lain.. Penerangan pun jelas..

Anonymous said...

Lagu pantun budi mmg best.. mmg terhibur kalau dengar huhu