Wednesday

E-Sajak: Tetamu Senja - A. Samad Said (Shazlin)





Kita datang ini hanya sebagai tetamu senja
Bila
cukup detik kembalilah
Kita kepadanya
Kita datang ini kosong tangan kosong dada
Bila pulang nanti bawa dosa bawa pahala

Pada tetamu yang datang dan
Kenal jalan pulang
Bawalah bakti mesra kepada
Tuhan kepada Insan
Pada tetamu yang datang
Dan lupa jalan pulang
Usahlah derhaka pula
Pada Tuhan kepada insan

Bila kita lihat manusia lupa tempat
Atau segera sesat puja darjat
Puja pangkat
Segera kita insaf kita ini punya kiblat
Segera kita ingat kita ini punya tekad

Bila kita lihat manusia terbiar larat
Hingga mesti merempat ke biru laut
Ke kuning darat
Harus kita lekas sedar penuh pada tugas
Harus kita tegas sembah
Seluruh rasa belas

Kita datang ini satu roh satu jasad
Bila pulang nanti bawalah bakti padat berkat
~ A. Samad Said

Sedikit ulasan:

*Sajak ini telah dideklamasikan sendiri oleh saya (Shazlin) iaitu salah seorang ahli kumpulan 17.
    
Seperti yang kita semua tahu, sajak Tetamu Senja ini adalah hasil nukilan Sasterawan Negara iaitu A. Samad Said. Sajak ini merupakan sajak yang sangat terkenal dalam bidang sastera negara dan merupakan salah satu karya Melayu yang berteraskan Islam kerana ia sesuai untuk dijadikan nasihat atau pengajaran kepada pembaca serta pendengar terutamanya orang Melayu. Hal ini kerana kehidupan orang Melayu banyak dipengaruhi oleh agama Islam itu sendiri.  Seperti sajak-sajak lain, sajak ini juga menyelitkan falsafah dan logika yang berteraskan Islam di samping menampilkan pelbagai metafora yang berlunaskan prinsip Islam dalam penggunaan ayat.

     Sajak ini memberi mesej tentang keseimbangan kehidupan duniawi dan kehidupan akhirat. Kehidupan kita sebagai manusia di dunia ini hanyalah sementara dan akan kembali kepada pencipta-Nya pada bila-bila masa sahaja. Kesimpulannya, kita sebagai manusia perlu melakukan tanggungjawab yang telah diamanahkan serta melakukan perkara-perkara kebaikan untuk dijadikan sebagai bekalan ke dunia akhirat.

    Sajak ini juga telah diterjemahkan dalam bentuk puisi lagu yang didendangkan oleh Kopratasa.






2 comments:

Nadirah said...

Wahh.. Sungguh mendalam bait-2 sajak ini. Teruskan usaha anda šŸ‘

Unknown said...

begitu jauh pengertiannya..hanya yg mengenali erti saja yg fhm..tahniah